SERDANG, 17 Julai (Bernama) -- Mahasiswa perlu memanfaatkan pindaan yang dilakukan oleh kerajaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang memberi kebebasan kepada mereka untuk mengembangkan potensi serta bakat sebagai seorang aktivis dan pemimpin, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek.
Beliau berkata pindaan terhadap akta tersebut merupakan satu lonjakan baru dalam sistem pendidikan negara dan pembinaan kepimpinan mahasiswa.
"(Pindaan terhadap AUKU) Itu yang kita perjuangkan dahulu, dikaji balik dan diberikan kebebasan kepada mahasiswa kerana inilah sahaja akan menyelamatkan negara daripada kebekuan dan kegersangan kepimpinan.
"Alhamdulilah, ia telah dikaji balik dan kita dapat pindaan baru yang jauh lebih baik dan mahasiswa lebih bebas daripada dahulunya," katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena "Hari Mahasiswa bersama Kementerian Belia dan Sukan" di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini Jumaat.
Pindaan terhadap AUKU dibuat pada 2008 dan diwartakan pada Februari lalu, bertujuan mengurangkan kawalan dan kongkongan terhadap mahasiswa dalam melakukan pelbagai aktiviti termasuk bersuara.
Ahmad Shabery berkata kementerian juga sedang memikirkan secara serius untuk melahirkan seberapa ramai pemimpin muda.
Sambil mengagumi Barrack Obama yang menjadi Presiden Amerika Syarikat pada usia yang muda iaitu 47 tahun, beliau berkata negara kesuntukan masa untuk melahirkan pemimpin pada usia muda.
"Keutamaan kita ialah untuk memberi kepimpinan di peringkat muda, bukan dalam soal politik semata-mata tetapi kepimpinan yang baik dalam pengurusannya, dalam pelbagai bidang seperti muzik, sukan dan bidang korporat," katanya.
Ketika sesi dialog bersama mahasiswa pada majlis yang sama, beliau menjelaskan konsep 1Belia 1Malaysia yang diketengahkan oleh kementerian merupakan sub-branding daripada konsep 1Malaysia.
Katanya konsep 1Malaysia tidak mungkin dapat dilaksanakan jika yang muda tidak didahulukan dengan menerapkan tentang persamaan.
Beliau berkata terdapat banyak program yang akan dilaksanakan dalam usaha merapatkan misalnya antara kaum dan antara bandar dan luar bandar. - Bernama
Friday, July 17, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment