Saturday, December 4, 2010

Bachelor of Education Tidak Di Iktiraf ?

SETIA JAYA, 5 DIS 2010 -- Susulan kepada isu penempatan atau "posting" graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan "Bachelor Of Education (B.Ed)" UNIRAZAK tidak mendapat tempat di Kementerian Pelajaran Malaysia mula terasa bahangnya. Setelah menjalankan kaji selidik dalam kalangan mahasiswa B.Ed, Pro-AM berpendapat bahawa pihak Universiti dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengambil sikap acuh tidak acuh dalam menangani masalah ini.

Kebimbangan mula dizahirkan mahasiswa yang sedang menuntut di UNIRAZAK. Tidak senang duduk dengan apa yang diperdengarkan kepada mereka mengenai nasib graduan B.Ed UNIRAZAK yang sedang menganggur. Mahasiswa B.Ed menuntut lebih penjelasan dari pihak Universiti. Ironinya, jawapan yang tidak enak didengari oleh mereka. "Ini bukan masalah kami" diucapkan oleh salah seorang penjawat yang berpangkat di Universiti.

Mahasiswa UNIRAZAK telah menggerakkan fron penuntut hak dan kebajikan mereka sebagai mahasiswa dan graduan lepasan B.Ed. Pelbagai cara telah digunakan oleh beberapa aktivis Universiti untuk mengumpulkan seramai yang mungkin dan membawa isu ini ke pihak berwajib. Walau bagaimanapun, usaha mereka seperti menunggu bulan jatuh ke riba. Respon yang diterima tetap sama. Kes ini menjadi semakin sulit umpama kanser yang menunggu masa untuk merebak.

Pengasas Kelab Pendidik UNIRAZAK "Educators Club" yang di tanya mengenai isu ini memberi komen "Kita jangan cepat berputus asa, jalan terbaik adalah menyambung pelajaran hingga ke peringkat Sarjana. Cara ini membantu kita untuk mendapat tempat sebagai Pensyarah di IPTA dan IPTS kelak" katanya kepada wartawan disini.

Mahasiswa jurusan lain juga diseru agar jangan mengabaikan isu ini. Penuntut UNIRAZAK tidak mahu melihat kes ini seperti gantung tidak bertali. Pro-AM sedang mengusahakan sesuatu yang termampu dan mengkoordinasi strategi bagi membantu saudara seangkatan yang berdepan masalah secara bersama. - Wartawan Pro-AM.

Wednesday, November 3, 2010

GELOMBANG KE-2


SETIA JAYA, 3 NOVEMBER 2010 -- Presiden Pro-AM Saudara Fariz Sukarnoh hari ini mengumumkan barisan kabinet yang baru bagi penggal ke-2 tahun 2010. Peralihan kepimpinan ini berkuatkuasa pada 12/11/10, hari Jumaat depan. Beliau telah menamakan Saudara Daniel Salleh Mohktar sebagai Timbalan Presiden parti yang baru bagi menggantikan Cik Fatihah Arifin yang telah menjawat jawatan itu selama setahun mulai 2009 yang lalu.

Manakala Presiden parti telah menamakan Cik Shamalah Ramo sebagai Setiausaha Agung bagi menggantikan YM Raja Syawal Ehsan yang juga tamat tempoh perkhidmatan pada 12 November ini.

Antara nama-nama baru yang turut diumumkan menjadi ahli kabinet tersebut adalah En. Afiq Radzuan, En. Yusni Yusof, Cik Patmawati Salleh, En. Salehuddin Zuraini, Cik. Dalila Ariff dan En. Aliff Abu Yazid.

Saudara Fariz juga menyampaikan ucapan penghargaannya kepada semua rakan seperjuangan yang telah menyumbangkan khidmat dan bakti kepada Pro-Aspirasi Mahasiswa bagi penggal pertama 2010. "Saya kagumi ketabahan mereka menempuhi onak dan duri sepanjang perjalanan menuju kejayaan. Walau bagaimanapun, perjuangan Pro-AM belum berakhir lagi" katanya ketika ditemu ramah di Bilik Gerakan. - Wartawan Pro-AM.

Monday, September 20, 2010

Buktikan Kewajaran Mahasiswa Berpolitik

Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

BANGI, 19 OGOS 2010 -- Semuanya bermula dengan tindakan kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 membabitkan diri dalam politik mulai 1 Ogos lalu. Di samping pelbagai reaksi diutarakan, timbul satu lagi tuntutan iaitu membenarkan mahasiswa terbabit politik.

Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang berakhir kelmarin di Bangi, mengemukakan resolusi kepada kerajaan iaitu menyokong pembabitan mahasiswa dalam parti politik.

Menariknya, resolusi ini disokong 191 daripada 335 ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di konvensyen, 128 wakil tidak bersetuju dan selebihnya tidak pasti. Maka dikatakan resolusi ini diluluskan atas dasar sokongan majoriti.

Penulis ingin mengupas tahap kewajaran yang boleh dijadikan indikator sebelum keputusan sama ada bersetuju atau tidak.

Statistik pengundian anggota MPP terhadap resolusi pembabitan dalam politik mencerminkan keadaan yang tidak konsisten dan ampuh untuk mereka memperjuangkan hak atau hasrat membabitkan diri dalam politik. Walaupun perbezaan majoriti 63 undi, sewajarnya semua 335 anggota memberi sokongan padu jika mereka benar-benar berhasrat terbabit politik.

Mereka wajar bersatu hati menyuarakan hasrat ini yang mungkin boleh menyebabkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atau Perdana Menteri sendiri mempertimbangkan sedalam-dalamnya resolusi mereka. Walau apapun, kita percaya resolusi ini tidak mempengaruhi sepenuhnya keputusan kerajaan kelak yang pasti mengambil kira pelbagai faktor berkaitan.

Kita tidak boleh menafikan pembabitan dan sumbangan mahasiswa dalam politik tanah air suatu ketika dulu yang melahirkan ramai pemimpin muda dan berkaliber, namun kita juga perlu ingat zaman sudah berubah.

Kita bukan lagi menentang penjajah atau ketidakseimbangan sosial atau ekonomi seperti dulu. Malah perjuangan ahli politik ketika ini juga bercampur baur antara tanggungjawab terhadap rakyat serta tuntutan kepentingan politik masing-masing.

Dalam hal ini, mahasiswa perlu membuktikan dan menunjukkan kepada kita justifikasi dan tahap kewajaran untuk mereka diberi peluang terbabit dalam politik. Ahli politik kerjanya berpolitik sepenuh masa. Guru yang dibenar berpolitik juga memiliki tugas hakiki dan mereka sudah berada pada kedudukan kukuh dari segi kerjaya mahupun pemikiran yang lebih matang.

Bagi mahasiswa pula kerja utama mereka ialah belajar dan selagi tidak menggenggam ijazah, mereka belum boleh berasa selamat dan bebas untuk melangkah dari alam menara gading ke dunia kehidupan nyata yang penuh onak duri.

Namun, hal ini tidak bermaksud mahasiswa tidak boleh menyumbang kepada kelangsungan pembangunan negara melalui pembabitan dalam politik. Kita percaya kelompok anak muda ini memiliki idea dan daya kreativiti yang boleh diketengahkan dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang betul.

Apa yang penting ialah kewarasan pemikiran dan kematangan bertindak, di samping kebijaksanaan menyatakan pendirian, hujah serta kemampuan membahagikan masa antara akademik dan politik, dilihat inti pati formula yang perlu dimiliki mahasiswa jika mahu dibenarkan aktif politik.

Jika elemen ini mampu diterjemahkan, kemungkinan besar tiada halangan membenarkan mereka terbabit politik. Apatah lagi dengan cara kerja Perdana Menteri yang terbuka dalam menerima idea masyarakat. Kita percaya Datuk Seri Najib Razak tidak sabar mendengar pandangan anak muda yang bakal mewarisi negara ini.

Mahasiswa perlu membuktikan kewajaran di sebalik tuntutan untuk membenarkan mereka bergiat dalam politik. Mereka mempunyai tanggungjawab dan sumbangan dalam pembangunan negara, buktikan apakah politik medium terbaik untuk mereka menyalurkan sumbangan yang diharapkan itu? — Berita Harian

* Penulis ialah Penolong Pendaftar Kanan Pusat Kesihatan Universiti, Universiti Putra Malaysia.

Wednesday, July 21, 2010

Keputusan Dicapai

KELANA JAYA, 9 Julai 2010 -- Setelah mendengar keluhan mahasiswa berhubung dengan isu perpindahan Kampus PINTAR, pihak pengurusan UNIRAZAK telah mengadakan sesi bertemu mahasiswa disini kelmarin.

Sesi tersebut dilaporkan berjalan dengan lancar walaupun berlaku ketegangan antara kedua-dua pihak. Ramai mahasiswa yang hadir sehinggakan kesesakan berlaku di dewan 1 dan 2 Kampus PINTAR. Ada yang berdiri sambil mendengar penjelasan dari pemilik asrama dan pengurusan perhubungan pelanggan UNIRAZAK (CRM).

Terdapat 4 perkara yang diumumkan oleh pihak UNIRAZAK iaitu;

1) Mahasiswa yang tinggal di Kelana Jaya akan diberikan kemudahan bas dari 7.00 am sehingga 9.30 pm.

2) Kemudahan bas ini adalah percuma sehingga akhir tahun 2010.

3) Mahasiswa yang tetap ingin berpindah tidak akan dikembalikan wang pendahuluan sewa asrama.

4) Segala masalah lain yang berkaitan dengan isu perpindahan ini boleh terus diajukan ke pihak CRM UNIRAZAK.

Wartawan Pro-AM sempat mendapatkan komen beberapa mahasiswa sejurus selepas sesi itu. Ada yang memberikan komen yang positif dan tidak kurang juga yang memberikan komen yang negatif.

Walau bagaimanapun, mahasiswa akur dengan keputusan pihak universiti dan mereka akan cuba mencari alternatif lain bagi menyelesaikan masalah-masalah penempatan mereka. - Wartawan Pro-AM.

Sunday, May 16, 2010

Presiden Serah Memo Wakili Mahasiswa kepada MPM


KELANA JAYA, 14 MEI 2010 -- Susulan berita tergempar yang melanda Unirazak dimana Kampus Pintar Kelana Jaya bakal dipindahkan ke Pusat Dagang Setia Jaya Ogos 2010 ini, Pro Aspirasi Mahasiswa dibawah pimpinan Saudara Fariz Sukarnoh menyerahkan Memorandum tuntutan yang mengandugi 8 muka surat penuh lengkap bersama pelan cadangan penyelesaian isu bantahan Mahasiswa terhadap perpindahan tersebut disini hari ini.

Memorandum tersebut dihantar oleh Saudara fariz yang juga ditemani En. Zahrin Aziz Ketua Pemuda Parti Pro-Am. Memorandum itu diterima oleh Y.B. Muda Julian Gan, Timbalan Presiden MPM yang disaksikan oleh seorang lagi Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa.

Beberapa isu dibincangkan sejurus selepas Memorandum diserahkan. "Saya amat berpuashati dengan mesyuarat yang berlangsung sebentar tadi dan ia menandakan persefahaman antara pihak Pakatan Mahasiswa bersama Pro-AM yang mempunyai pandangan yang hampir sama mengenai isu ini." kata Saudara Fariz selepas ditemubual di perkarangan Kampus.

Berikut adalah 10 tuntutan Mahasiswa terhadap Unirazak;

1) Menggantikan wang deposit rumah yang tidak dapat dituntut atas sebab kontrak yang belum tamat kepada mahasiswa.

2) Menyediakan bas yang menghubungkan antara kampus dan hostel mahasiswa bagi setiap 4 jam ( 8 AM – 4 PM ) jika hostel terletak 250 meter atau lebih dari kampus.

3) Menjamin keselamatan mahasiswa dan yang menetap di hostel-hostel dibawah kelolaan Unirazak.

4) Menjamin keselamatan warga Unirazak di kawasan kampus.

5) Menyediakan kafe atau kantin yang mempunyai harga makanan dan minuman berpatutan.

6) Memastikan harga sewaan hostel tidak melebihi dari kemampuan mahasiswa yang menggunakan perkhidmatan agent hostel lantikan Unirazak.

7) Memastikan kapasiti sebuah rumah hostel tidak boleh melebihi daripada 7 orang bagi rumah 3 bilik demi keselesaan.

8) Tidak menaikkan sebarang kadar yuran kepada mahasiswa yang telah berdaftar di Kampus Pintar sebelum ini.

9) Bersedia membantu mahasiswa dalam segala permasalahan yang timbul berkaitan pemindahan ke kampus baru.

10) Menambahkan pensyarah atau tutor yang baru bagi mengelakkan penyarah ‘part-time’ yang susah untuk diketemui mahasiswa.

Memorandum ini bakal di bawa ke pihak pentadbiran tertinggi Unirazak iaitu Prof. Dato' Dr. Mohamed Mahyuddin Mohd. Dahan, Timbalan Presiden (Akademik & Penyelidikan). Pro-AM akan meuar-uarkan perkembangan semasa mengenai soaljawab isu pemindahan ini. Dapatkan berita yang terkini hanya di laman rasmi Pro Aspirasi Mahasiswa Unirazak. - Wartawan Pro-AM

CARTA ORGANISASI PRO-AM 2010-2011




KLIK GAMBAR UNTUK BESARKAN IMEJ

PENJENAMAAN SEMULA 2010 !


KELANA JAYA, 16 OKT 2010 -- Setelah hampir 6 bulan sunyi tanpa berita, kini Pro-AM telah tekad untuk bangkit semula dan berjuang demi Mahasiswa seiring dengan penjenamaan semula UniTAR kepada Unirazak.

Nantikan Logo dan barisan baru pimpinan Parti yang bakal menggegarkan dunia politik mahasiswa. Gagasan baru bakal diperkenalkan bagi menyahut seruan 1 Malaysia 1 Mahasiswa. Pro-AM bakal melaporkan kegiatan-kegiatan sosial Mahasiswa secara tepat, terkini dan pasti !

Pro-AM yang masih dibawah pimpinan saudara Fariz yang kini juga sebagai Pengerusi Kelab Media Mahasiswa (Kemsis) bakal memperkenalkan pembaharuan kepada Pro-AM. Apa yang dimaksudkan saudara Fariz ialah perpaduan ke arah kejayaan bersama. - Wartawan Pro-AM.