BANGI, 22 April 2009 -- Pewartaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) Pindaan 2008 pada 27 Januari lalu dilihat lebih dahsyat berbanding pindaan pada tahun 1975. Sebelum itu, akta ini telah diluluskan oleh Dewan Negara pada 18 Disember tahun lalu dan berkuatkuasa 30 hari serta merta mengikut perkara 66 Perlembagaan Persekutuan
AUKU telah digubal dan dikuatkuasakan pada 30 April 1971 dan ia telah dipinda sebanyak empat kali iaitu pada 24 September 1971, 13 Mei 1975, 20 Februari 1983 dan pindaan kali yang terakhir iaitu pada 1 Oktober 1996
“ AUKU yang ada pada hari ini sebenarnya lebih mencengkam mahasiswa walaupun dimomokan dengan metafora yang amat indah bahawa ia telah membuka ruang kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa sedangkan hakikatnya, mahasiswa masih dizalimi dan dinafikan haknya,” kata Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Saudara Hishamuddin Che Ali.
“AUKU telah dipinda tetapi kebebasan asasi yang telah digariskan oleh Perlembagaan kita seperi kebebasan bepersatuan, kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun masih diikat oleh akta zalim ini?Beliau menambah, bahawa dalam aspek kebebasan bersuara dan berhimpun mahasiswa, mahasiswa jelas disekat dan hanya boleh bersuara dalam bidang masing-masing dan juga seminar atau wacana yang diluluskan oleh menteri melalui peruntukkan Seksyen 15 (6) (b) AUKU (Pindaan) 2008
Ujarnya lagi bahawa pindaan AUKU pada hari sebenarnya akan membawa mahasiswa ke arah graduan separuh masak atau apa yang disebut dalam bahasa Inggeris, ‘half baked graduate’.
Mengulas isu kemasukan pemimpin parti politik ke dalam kampus, beliau menggesa agar ahli-ahli Dewan Rakyat memasukan peruntukkan tambahan ke dalam AUKU tentang isu kemasukan pemimpin politik sama ada kerajaan atau pembangkang ke dalam mana-mana ruang di kampus.
“ Sememangnya selama ini mahasiswa disilap mata dengan momokan bahawa pemimpin kerajaan dan pembangkang akan mudah memasuki Univeriti tetapi ia hanyalah kata-kata menteri dan tidak digazetkan di dalam AUKU itu sendiri
Tambahnya lagi kekecohan di Universiti Malaya dan UKM minggu lalu berkaitan jemputan wakil pembangkang dan kerajaan ke dalam perasmian mesyuarat Agung Tahunan dan forum tidak akan berlaku sekiranya mahasiswa diperjelaskan tentang isu ini.
“ Mahasiswa perlu diberikan prosedur dan garis panduan jelas tentang perkara ini agar mereka dapat merasai kenikmatan pemikiran dan bukannya seperti katak di bawah tempurung yang hanya dengar daripada sebelah pihak sahaja”, tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kekesalan dengan tindakan UMNO menganak-tirikan mahasiswa dalam negara apabila membenarkan mahasiswa luar negara menganggotai parti politik melalui Kelab UMNO Luar Negara”
“ Amat malang apabila mahasiswa Malaysia luar negara bebas menganggotai parti politik sedangkan mahasiswa dalam negara dicengkam dengan AUKU Pindaan 2008 yang hanya membenarkan mahasiswa untuk menganggotai parti politik melalui kebenaran Naib Canselor sepertimana peruntukkan Seksyen 15 (4) Akta AUKU ini dan bukannya secara automatik seperti rakyat Malaysia yang lain”
Beliau mendesak agar sekiranya inginkan mahasiswa Malaysia bebas daripada politik, maka Kelab UMNO Luar Negara wajar dibubarkan dan 63 Kelab Umno Luar Negara perlu dihalang keras daripada menyertai Perhimpunan Agong UMNO pada 25 hingga 28 Mac ini.
“ Mahasiswa yang menganggotai Kelab UMNO Luar Negara perlu sedar bahawa mereka tertakluk pada undang-undang negara iaitu AUKU apabila berada di negara ini dan kehadiran mereka ke dalam aktiviti politik di Malaysia adalah bercanggahan dengan AUKU itu sendiri,” tegasnya.
Beliau turut membuat gesaan agar pindaan segara perlu dilakukan dalam peruntukan-peruntukan tertentu kerana beliau melihat bahawa AUKU Pindaan 2008 ini tidak lebih sekadar kosmetik yang jelas membunuh hak asasi mahasiswa dan melayan mahasiswa seperti warganegara kelas kedua.
“ Tidak bolehkah mahasiswa dilayan seperti warganegara Malaysis lain dalam soal kebebasan menganggotai politik, kebebasan bersuara, hak untuk berpolitik dan juga hak untuk memilih persatuan yang digemarinya selari dengan Perlembagaan Persekutuan?” Soalnya.
Katanya lagi bahawa MPMN akan terus menyuarakan isu yang melibatkan kepentingan mahasiswa seluruhnya dan bukan kepentingan kelompok tertentu sahaja dalam isu-isu kemahasiswaan di peringkat nasional.
MPMN atau Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional telah ditubuhkan pada 14 Mac lalu yang keanggotaannya terdiri daripada ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. - MPMN
Sunday, July 19, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment