SHAH ALAM, 26 Julai (Bernama) -- Penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) hendaklah menggunakan kewarasan mereka sebagai mahasiswa dalam menapis dan menyaring maklumat yang diterima, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata mereka perlu berpegang teguh kepada prinsip kejujuran intelektual dalam menilai dan memperhalusi sesuatu itu itu.
Perdana Menteri juga berharap mahasiswa tidak menjadi pembudaya fitnah dan omongan jahat.
"Kita faham, era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu. Namun tidak ada juga sesiapa yang boleh memonopoli kebenaran atau kebijaksanaan," katanya ketika menutup Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam (ISCO 09) di Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Ahad.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Kelab Damai (Dewan Amal Islam Hadhari) IPTA yang menjadi penaung kepada pergerakan persatuan-persatuan Islam di institusi pengajian tinggi awam di seluruh negara.
Selain itu, Najib berkata segala aktiviti yang dirancang oleh pimpinan mahasiswa perlulah relevan dengan zaman dan dalam konteks ini mahasiswa perlu mengutamakan keperluan belia di dalam program-program yang dijalankan mereka.
Najib berkata:"Maknanya janganlah kegiatan mahasiswa bersifat syok sendiri, lupa pada asasnya iaitu membantu dan membimbing golongan muda dan rakan semahasiswa khususnya agar terus berada di landasan yang betul".
Para mahasiswa perlu turut memenuhkan ilmu di dada dan menjadi mahasiswa yang fasih pelbagai bahasa, serba boleh dan menguasai pelbagai kemahiran kerana era dunia kini adalah era peperangan minda dan bukannya lagi ketenteraan atau beradu fizikal, katanya.
Perdana Menteri berkata mahasiswa yang terdiri daripada golongan belia adalah bakal pemimpin negara dan dengan itu soal kepimpinan mahasiswa adalah amat penting bak kata Imam Al-Ghazali "jika golongan belia sesebuah negara itu baik, maka masa hadapan negara itu berada di tangan barisan yang boleh ditaruhkan harapan".
Justeru, beliau berkata usaha DAMAI mengadakan ISCO 09 adalah bertepatan dalam usaha mengupas pengertian kepentingan kepimpinan sekaligus mencari pemimpin masa depan yang berwibawa.
"Dalam hal ini, jaminan dari saya sebagai Perdana Menteri adalah pihak kerajaan akan sentiasa menyokong sepenuhnya inisiatif menggilap pemimpin baru yang dilatih mengikut asas kepimpinan menurut landasan yang betul. Mustahaknya, kita tidak mahu mahasiswa terbabas daripada jalan yang sewajarnya," katanya.
Bagaimanapun, Najib berkata apa yang menyedihkan terdapat pemimpin mahasiswa di negara ini yang dilihat berpotensi tetapi tidak tahu bagaimana untuk menterjemahkan kepimpinan mereka di atas landasan yang akan memberikan manfaat yang besar kepada pergerakan mereka sendiri mahupun masyarakat keseluruhanannya.
Tindakan-tindakan yang tidak menguntungkan mahasiswa atau masyarakat hendaklah dielakkan kerana ini mungkin akan mencemarkan gerakan mahasiswa berkenaan, katanya.
Perdana Menteri berkata penubuhan Kelab DAMAI IPTA merupakan satu pendekatan yang beliau yakin mampu menyediakan lapangan, laluan dan wadah bagi melahirkan bakal pemimpin masa hadapan.
"Bahkan, kaedah pengkaderan pimpinan masa depan di mana Rasulullah yang amat menitikberatkan tarbiyyah dan disiplin sepertimana baginda membimbing para sahabat seperti Usamah, Muaz dan Mus'ab perlu menjadi teras kepada usaha-usaha Kelab DAMAI IPTA."
Dalam perspektif Islam, ummah tidak boleh dibiarkan dalam ketika apa pun berada dalam keadaan tanpa pemimpin atau arah tuju dan ini dapat dilihat bagaimana Saidina Abu Bakar telah dilantik sebagai khalifah biarpun jenazah Rasulullah s.a.w pada masa itu belum disemadikan lagi, katanya.
Katanya jelas sekali peristiwa itu menunjukkan Islam tidak mengambil mudah soal kepimpinan malahan merupakan keutamaan dalam membina ketamadunan dan survival ummah.
Dalam kata lain, katanya Islam meletakkan kepimpinan sebagai taklif yakni amanah yang mesti dilaksanakan dan bukannya tashrif yakni kemuliaan semata-mata bagi membawa transfromasi yang besar kepada negara.
"Kepimpinan yang wujud dalam Islam ialah kesepaduan yang menekankan keseimbangan antara roh dan jasad...kestabilan di antara pembangunan kerohanian dan kebendaaan bagi menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat," katanya.
Perdana Menteri juga berkata adalah penting bagi seseorang pemimpin untuk menunaikan janji yang dibuat bagi mendapatkan keredaan Allah s.w.t.
Pada majlis itu, Najib menyampaikan watikah Penubuhan Kelab Damai kepada Naib Canselor semua IPTA di seluruh negara.
Pengerusi DAMAI Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis itu turut mengumumkan jawatannya itu akan diambil alih oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkuatkuasa Ahad. - Bernama
Sunday, July 26, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment