Thursday, July 16, 2009

Cadangan Tingkat Aktiviti Kokurikulum IPT Kepada 30 Peratus.

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Nisbah aktiviti kokurikulum di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dicadang ditingkatkan kepada 30 peratus untuk melahirkan siswa yang serba boleh apabila melangkah ke alam pekerjaan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata penambahan aktiviti kokurikulum ini juga boleh membantu kerajaan mencapai matlamat Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Lebih banyak aktiviti dilakukan, lebih banyak masa dan peluang untuk mahasiswa daripada pelbagai kaum berinteraksi. Secara tak langsung dapat lihat semarak pergaulan antara kaum," katanya kepada Bernama selepas menghadiri sesi temubual dalam slot Appointment, pukul 2, di siaran Radio 24 di Wisma Bernama di sini Khamis.

Katanya pertambahan aktiviti 30 peratus ini tidak bermaksud mencuri waktu pembelajaran dan intipati akademik yang sedia ada tetapi ia lebih menjurus kepada menambah nilai kepada kegiatan kokurikulum di IPT.

Menurutnya penglibatan pelajar secara aktif dalam kokurikulum dan akademik di IPT, secara tidak langsung melatih individu menjadi seorang yang dinamik dan serba boleh apabila menempuh alam pekerjaan.

"Contohnya, di samping bekerja di pejabat, mereka boleh menjadi usahawan dalam bidang lain seperti pengusaha barang-barang sukan," katanya.

Saifuddin berkata peningkatan nisbah aktiviti kokurikulum di IPT diharap dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam masa lima tahun jika proses rundingan dan bimbingan antara universiti, agensi kerajaan dan industri pekerjaan berjalan lancar.

Beliau berkata secara umumnya beberapa canselor, timbalan canselor dan pemimpin mahasiswa bersetuju bahawa aktiviti kokurikulum 10 peratus masih kecil berbanding 90 peratus sesi akademi.

Katanya nisbah ini dicadangkan dengan mengambil kira beberapa faktor perbandingan antara IPT tempatan dengan Universiti Havard.

Menurutnya, proses melahirkan rakyat yang serba boleh dan dinamik ini akan menjadikan lebih mudah jika pihak sekolah rendah dan menengah juga memainkan peranan dalam melatih anak-anak yang cemerlang dalam kokurikulum.

"Sekolah-sekolah hari ini sebenarnya sudah berjaya melahirkan pelajar yang dinamik, kreatif dan serba boleh tetapi bilangannya masih belum cukup ramai...mungkin ini disebabkan guru-guru hanya memberi tumpuan kepada pelajar yang berpotensi mengharumkan nama sekolah" katanya. - Bernama

No comments: