Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
BANGI, 19 OGOS 2010 -- Semuanya bermula dengan tindakan kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 membabitkan diri dalam politik mulai 1 Ogos lalu. Di samping pelbagai reaksi diutarakan, timbul satu lagi tuntutan iaitu membenarkan mahasiswa terbabit politik.
Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang berakhir kelmarin di Bangi, mengemukakan resolusi kepada kerajaan iaitu menyokong pembabitan mahasiswa dalam parti politik.
Menariknya, resolusi ini disokong 191 daripada 335 ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di konvensyen, 128 wakil tidak bersetuju dan selebihnya tidak pasti. Maka dikatakan resolusi ini diluluskan atas dasar sokongan majoriti.
Penulis ingin mengupas tahap kewajaran yang boleh dijadikan indikator sebelum keputusan sama ada bersetuju atau tidak.
Statistik pengundian anggota MPP terhadap resolusi pembabitan dalam politik mencerminkan keadaan yang tidak konsisten dan ampuh untuk mereka memperjuangkan hak atau hasrat membabitkan diri dalam politik. Walaupun perbezaan majoriti 63 undi, sewajarnya semua 335 anggota memberi sokongan padu jika mereka benar-benar berhasrat terbabit politik.
Mereka wajar bersatu hati menyuarakan hasrat ini yang mungkin boleh menyebabkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atau Perdana Menteri sendiri mempertimbangkan sedalam-dalamnya resolusi mereka. Walau apapun, kita percaya resolusi ini tidak mempengaruhi sepenuhnya keputusan kerajaan kelak yang pasti mengambil kira pelbagai faktor berkaitan.
Kita tidak boleh menafikan pembabitan dan sumbangan mahasiswa dalam politik tanah air suatu ketika dulu yang melahirkan ramai pemimpin muda dan berkaliber, namun kita juga perlu ingat zaman sudah berubah.
Kita bukan lagi menentang penjajah atau ketidakseimbangan sosial atau ekonomi seperti dulu. Malah perjuangan ahli politik ketika ini juga bercampur baur antara tanggungjawab terhadap rakyat serta tuntutan kepentingan politik masing-masing.
Dalam hal ini, mahasiswa perlu membuktikan dan menunjukkan kepada kita justifikasi dan tahap kewajaran untuk mereka diberi peluang terbabit dalam politik. Ahli politik kerjanya berpolitik sepenuh masa. Guru yang dibenar berpolitik juga memiliki tugas hakiki dan mereka sudah berada pada kedudukan kukuh dari segi kerjaya mahupun pemikiran yang lebih matang.
Bagi mahasiswa pula kerja utama mereka ialah belajar dan selagi tidak menggenggam ijazah, mereka belum boleh berasa selamat dan bebas untuk melangkah dari alam menara gading ke dunia kehidupan nyata yang penuh onak duri.
Namun, hal ini tidak bermaksud mahasiswa tidak boleh menyumbang kepada kelangsungan pembangunan negara melalui pembabitan dalam politik. Kita percaya kelompok anak muda ini memiliki idea dan daya kreativiti yang boleh diketengahkan dengan bimbingan dan tunjuk ajar yang betul.
Apa yang penting ialah kewarasan pemikiran dan kematangan bertindak, di samping kebijaksanaan menyatakan pendirian, hujah serta kemampuan membahagikan masa antara akademik dan politik, dilihat inti pati formula yang perlu dimiliki mahasiswa jika mahu dibenarkan aktif politik.
Jika elemen ini mampu diterjemahkan, kemungkinan besar tiada halangan membenarkan mereka terbabit politik. Apatah lagi dengan cara kerja Perdana Menteri yang terbuka dalam menerima idea masyarakat. Kita percaya Datuk Seri Najib Razak tidak sabar mendengar pandangan anak muda yang bakal mewarisi negara ini.
Mahasiswa perlu membuktikan kewajaran di sebalik tuntutan untuk membenarkan mereka bergiat dalam politik. Mereka mempunyai tanggungjawab dan sumbangan dalam pembangunan negara, buktikan apakah politik medium terbaik untuk mereka menyalurkan sumbangan yang diharapkan itu? — Berita Harian
* Penulis ialah Penolong Pendaftar Kanan Pusat Kesihatan Universiti, Universiti Putra Malaysia.
Monday, September 20, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment