Tuesday, April 14, 2009

ANALISIS PILIHANRAYA KECIL

Perubahan Trend Mengundi Di Kalangan Bukan Melayu

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Keputusan tiga pilihan raya kecil baru-baru ini telah menunjukkan perubahan jelas dalam trend mengundi di kalangan pengundi Melayu dan bukan Melayu terhadap Barisan Nasional (BN) dan parti pembangkang.

Walaupun BN mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Batang Ai dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS masing-masing mempertahankan kerusi DUN Bukit Selambau dan kerusi Parlimen Bukit Gantang, perubahan ketara dalam trend mengundi merupakan sesuatu yang baru berbanding pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas.

Analisis keputusan tersebut telah membongkarkan fakta-fakta yang menarik sekali -- iaitu sokongan bukan Melayu terhadap BN di dua "bukit" itu telah merosot dengan ketara dan gagasan pembangkang mendapat sokongan golongan itu.

BN berjaya meningkatkan sokongan di kalangan pengundi Melayu di Bukit Gantang tetapi peningkatan itu gagal menyekat pengaliran undi bukan Melayu kepada PAS.

Menurut seorang penganalisis politik, BN berjaya meningkatkan sokongan pengundi Melayu di Bukit Gantang kali ini dengan tambahan lima peratus daripada jumlah 53 peratus pada tahun lepas.

Bagaimanapun, pada masa sama, BN mengalami kemerosatan 13 peratus undi bukan Melayu dari 35 peratus pada 2008 kepada 22 peratus kali ini, kata Ong Kian Ming dilaporkan sebagai berkata dalam berita dalam talian, Malaysiakini.

Perkembangan ini membimbangkan beberapa pemimpin parti komponen di pelbagai peringkat dengan mencetuskan debat kenapa perkara seperti ini terjadi.

"Keputusan pilihan raya kecil di dua "bukit" itu juga telah menunjukkan pengundi tua di kalangan bukan Melayu yang secara tradisi menyokong BN kini telah beralih kepada pembangkang," kata seorang ejen BN.

Ini adalah membimbangkan kerana keputusan pilihan raya umum 2008 menunjukkan pengundi bukan Melayu yang telah berusia telah memberi undi kepada BN walaupun tsunami politik melanda Semenanjung Malaysia.

"Apa yang lebih merisaukan kepada kami ialah pengundi Cina di kawasan bandar turut mengikuti jejak pengundi di kerusi kawasan luar bandar dengan tidak memilih BN.

"Ini adalah sesuatu luar biasa bagi kami, kerana kami fikir selama ini corak pengundian antara kawasan bandar dan luar bandar adalah sentiasa berbeza," katanya.

Menurut seorang penganalisis politik, James Wong, perubahan corak menandakan pengundi Cina kini dalam "kedudukan bertahan" kerana mereka tidak lagi suka dipersalahkan atas kesilapan orang lain.

"Bukan Melayu agak bertolak ansur untuk sekian lama dan kini sudah tiba masa mereka hilang sabar. Mereka tidak mempunyai pilihan kecuali memilih pembangkang," kata bekas ahli politik itu.

Faktor lain apa yang beliau menyifatkan sebagai "transformasi PAS" kerana parti pembangkang berjaya menonjol diri sebagai parti berfahaman lebih sederhana dan toleran dengan perkara berkaitan kebudayaan dan agama.

"Pengundi Cina dan India kini lebih selesa dengan PAS," katanya sambil menjelaskan besar kemungkinan trend mengundi akan kekal kecuali pengundi bukan Melayu mula memperlihatkan perubahan drastik dalam UMNO dan BN.

Seorang lagi penganalisis politik, James Chin, berkata trend mengundi masa kini boleh dijejak sejak 1999 selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari UMNO, mengakibatkan pengundi dari golongan muda menyokong pembangkang manakala BN tidak berubah walaupun menerima tamparan hebat pada pilihan raya umum 2008.

"Pengundi bukan Melayu kecewa. Biarpun memberi isyarat jelas pada pilihan raya umum tahun lepas, BN dan UMNO masih belum berubah. Ini memperjelaskan kenapa wujud perubahan trend mengundi di kalangan pengundi bukan Melayu yang sudah berusia dan pengundi di luar bandar," katanya.

Bagaimanapun, Chin menegaskan bahawa corak pengundian ini mungkin tidak kekal jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh membawa perubahan dalam BN.

"Secara tradisi, terdapat antara 30 dan 35 peratus bukan Melayu yang menyokong BN dan 40 hingga 45 peratus yang menjadi penyokong tegar pembangkang. Selebihnya pengundi atas pagar.

"Oleh sebab itu, saya percaya mereka mungkin kembali ke BN jika Najib boleh membawa perubahan," katanya.

Menurut Chin, perubahan trend mengundi bergantung kepada tempoh pemulihan ekonomi negara dan bagaimana UMNO boleh berubah. - Bernama.

No comments: