KUALA LUMPUR, 22 Mac 2009 -- Umno perlu menyerahkan kepada perwakilan dalam perhimpunan Agung parti itu mulai Selasa ini bagi memulihkan imej serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. "Peluang (ketiga) itu terletak di tangan perwakilan di mana sekiranya perwakilan turut pilih orang yang terlibat dengan rasuah maka satu lagi peluang Umno (untuk pulihkan kedudukan) akan hilang. "Kalau perwakilan pilih juga calon yang terlibat dengan rasuah, sedangkan tribunal telah mengatakan dia terlibat dengan rasuah, kalau pilih juga (calon) itu, maka terpulanglah kepada kepimpinan parti," katanya. Ketika menggariskan empat peluang bagi memulihkan imej Umno serta menghapuskan politik wang bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti itu, Dr Mahathir berkata peluang itu juga bergantung kepada siapa yang akan bakal menjadi Perdana Menteri dan apakah langkah yang akan diambil, katanya.
"Peluang yang terakhir ada pada Datuk Seri Najib Tun Razak (yang bakal menjadi Presiden Umno), kalau dia juga pilih orang yang terlibat dengan rasuah menjadi anggota Kabinet, saya fikir harapan untuk Umno terus kukuh pada masa depan akan hilang," katanya.
Katanya, kebanyakan peluang yang ada untuk memperbetul dan mengukuhkan kedudukan Umno telah dilepaskan begitu sahaja.
"Banyak peluang yang diraih oleh Umno untuk kukuhkan kedudukannya telah dilepaskan, contohnya, kalau Bahagian Umno itu jujur, dia akan memilih calon yang tidak sogok wang tetapi kita tahu bahagian-bahagian Umno ada yang pilih calon yang terlibat dengan sogokan wang dan ini peluang pertama nak bersihkan Umno sudah hilang," katanya.
Peluang kedua yang dilepaskan Umno adalah apabila Jawatankuasa Lembaga Disiplin parti itu gagal menangani gejala politik wang dan seakan-akan masih merestui politik wang di dalam Umno, katanya kepada pemberita selepas ucaptamanya di Persidangan Kemuncak Pribumi Perkasa Negara di sini.
"Jawatankuasa Lembaga Disiplin Umno jelas gagal kerana orang yang membuat kesalahan yang sama mendapat hukuman yang berbeza. Ada yang kena buang kerja, ada yang tidak kena buang kerja, ada yang seluruh dunia sedia maklum bahawa dia salah tetapi pada pandangan parti, dia tidak bersalah, jadi kredibiliti jawatankuasa disiplin itu telah tamat," katanya.
Terdahulu di dalam ucaptamanya, Dr Mahathir menyeru orang Melayu bersatu dan melakukan perubahan demi masa depan dan kedudukan mereka di negara ini. - BERNAMA
Sunday, March 22, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment