PULAU PINANG, 4 Jun (Bernama) -- Institusi Pengajian Tinggi di negara ini diminta mengiktiraf pendapat mahasiswa yang bersuara secara individu dalam membentuk perancangan dan dasar universiti.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata idea secara individu itu perlu diambil kira kerana ia mungkin memberi kesan positif kepada pembangunan universiti dan negara.
"Walaupun selalunya idea mahasiswa disalurkan melalui perwakilan pelajar, suara idividu juga perlu diambil kira dan diiktiraf oleh universiti untuk kepentingan semua," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mentor di Pusat NADI, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, Khamis.
Katanya, sumbangan yang dimainkan oleh mahasiswa juga menjadi matlamat utama mengapa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda. "Mahasiswa tidak lagi dikongkong untuk bersuara malahan perkara itu amat diperlukan ke arah kehidupan kampus yang sejahtera dan harmoni. "Banyak aspek yang boleh ditekankan melalui pengisian kepada kebebasan mahasiswa, jadi universiti harus mengiktiraf suara-suara itu," kata Saifuddin.
Beliau berkata, pihaknya juga kini sedang memperluaskan konsep "Rakan Kepemimpinan" antara mahasiswa dan universiti supaya kedua-dua pihak dapat menyalurkan pendapat dalam merangka serta merancang aktiviti universiti. "Melalui perkongsian pendapat tidak kira sama ada daripada perwakilan pelajar atau individu, kedua-dua pihak dapat mencapai satu keputusan terbaik untuk manfaat semua yang terlibat terutama dalam memperkasakan sesebuah universiti," katanya.
Melalui konsep itu, katanya, ia mempunyai falsafah, matlamat dan objektif yang jelas tentang peranan yang boleh disumbangkan mahasiswa ke arah model perancangan kehidupan kampus yang sejahtera. -- BERNAMA
Thursday, June 4, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment