KUALA LUMPUR, 20 JAN 2009 -- Kumpulan pro-Aspirasi gagal mempertahankan penguasaannya di Universiti Malaya apabila tewas kepada kumpulan pro-Mahasiswa dan calon bebas dalam pilihanraya kampus semalam. Kumpulan pro-establishment itu hanya mendapat 20 kerusi daripada 41 kerusi yang dipertandingkan. Manakala kumpulan pro-Mahasiswa memenangi 19 kerusi dan dua kerusi lagi dimenangi oleh calon bebas. Kekalahan tipis kumpulan pro-Aspirasi itu diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UM), Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris pada jam 3.30 pagi di Dewan Tunku Canselor (DTC) di UM. Dalam pilihanraya kampus lalu, pro-Mahasiswa memenangi 11 daripada 41 kerusi. Dan dalam pilihanraya kampus semalam, kumpulan yang dianggap anti-establishment itu berjaya menambah lapan lagi kerusi.
Kerusi umum
Kumpulan tersebut menang lapan daripada sembilan kerusi umum dan 13 daripada 32 kerusi fakulti. Calon bebas memenangi dua kerusi fakulti.
Lapan calon pro-Mahasiswa yang menang kerusi umum ialah:
1- Mohamad Hafiz Ilyas.
2- Ahmad Syazwan Mohd Hassan.
3- Mohamad Ridzuan Mohammad.
4- Nurul Fitrah Mohd Ariffin Marican.
5- Chong Yah Huei.
6- Shah Rizul Ayuni Zulkiply.
7- Low Yu Jie.
8- Yap Zhehn Jun.
Manakala satu lagi kerusi umum dimenangi oleh calon pro-Aspirasi.
Peratusan merosot
Menurut keputusan yang diumumkan semalam, Mohamad Hafiz mendapat 5,999 undi, Ahmad Syazwan (5,886), Mohamad RIdzuan (5,474), Nurul Fitrah (5,425), Chong (5,041), Shah Rizul Ayuni (5,000), Low (4,847 dan Yap mendapat 4,683 undi.
Bagi kerusi fakulti pula, calon pro-Mahasiswa menang dua kerusi Fakulti Pengajian Melayu (2), Akademi Pengajian Islam (2) dan masing-masing satu kerusi di Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Perakaunan dan Perniagaan, Fakulti Pendidikan, Fakulti Sains, Fakulti Bahasa dan Linguistik dan Pusat Kebudayaan. Calon bebas pula memangi dua kerusi di Fakulti Undang-undang. Bagaimanapun, peratusan keluar mengundi merosot kepada 69 peratus pada sesi pemilihan kali ini.
Pengerusi pro-Mahasiswa Norazali Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan kemenangan kumpulannya itu. Menurutnya, kemenangan tersebut tidak diijangkakan. Kali terakhir pro-Mahasiswa UM memenangi pilihanraya kampus ialah pada 2004. Ketika dihubungi Malaysiakini, Norazali menyifatkan kemenangan itu sebagai "angin perubahan" yang sedang melanda universiti itu. "Kemenangan pro-Mahasiswa kali ini begitu simbolik. Barrack Obama masuk Rumah Putih pada 20 Januari, kita menang pada (pun) pada 20 Januari," kata Norazali. Pro-Mahasiswa sesi ini mengitar semula tema dan slogan kempen Barrack Obama dalam kempen pilihanraya presiden Amerika Syarikat tahun lepas, Hope and Change dan Change, yes we can. Norazali bagaimanapun mengakui, situasi pilihanraya kampus di UM lebih bebas berbanding universiti lain. Oleh itu, katanya, ianya membolehkan kempen dilakukan dengan lebih berkesan.
Proses pengiraan undi
Proses pengiraan undi di Universiti Malaya (UM) semalam panas apa kedua-dua kumpulan - pro-Mahasiswa dan Penggerak Mahasiswa - masing-masing saling melaungkan-laungkan kata-kata semangat, malam tadi. Kira-kira 250 pelajar pro-Mahasiswa berpakaian oren berkumpul berhadapan dengan bangunan Canselori yang terletak di sebelah kiri Dewan Tunku Canselor (DTC) - tempat pengiraan undi dijalankan. Sebelum itu, pelajar pro M berkumpul untuk mengadakan solat hajat dan Isyak berjemaah. Mereka juga tutut membawa bendera Pro-M dan melilit kepala dengan lilitan berwarna kuning tertulis ‘Pro-Mahasiswa'. Manakala kira-kira 150 pelajar Penggerak Mahasiswa berpakaian serba hitam berkumpul di sebelah kanan dewan tersebut. Kedua-dua kumpulan membawa kain rentang masing-masing sambil diperhatikan kira-kira 30 wartawan dan jurugambar yang berada di situ. Kedua-dua penyokong kumpulan tersebut dipisahkan dengan jarak kira-kira 15 meter dan dikawal oleh Sukarelawan Polis UM (Suksis) kira-kira 50 orang sebelum kedua-dua menghampiri pintu masuk utama DTC kira-kira jam 10.30 malam.
Suasana panas
Kedua-dua kumpulan saling berteriakan. Pro-Mahasiswa berteriak ‘Hope and Change, Yes We Can', ‘Hancur, hancur, hancur rasuah' dan ‘Student Power' beberapa kali. Dalam masa yang sama Penggerak Mahasiswa membalas dengan laungan ‘Fitnah, fitnah, fitnah rasuah', ‘Hidup, hidup, hidup perpaduan' dan ‘sayang, sayang, sayang perpaduan' beberapa kali. Keadaan menjadi lebih panas, apabila seorang aktivis Penggerak Mahasiswa melaungkan kata-kata berunsur provokasi terhadap pro-Mahasiswa. Kata-kata tersebut disambut oleh penyokongnya dengan sorakan dan tiupan wisel. Kemudian pro-Mahasiswa melaungkan ‘Gerak, Gerak, Gerak Rasuah' sambil menunjukan duit kertas RM 10 ringgit kepada Penggerak. Pilihanraya kampus yang berlangsung semalam mempertandingkan 41 kerusi - 9 kerusi umum dan 32 kerusi fakulti. Sesi lalu, pro-Mahasiswa menguasai 11 daripada 41 kerusi yang dipertandingkan. -Wartawan Pro-M UM.
Wednesday, January 21, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment