Sunday, June 19, 2011

NUKILAN TERAKHIR

Assalammualaikum dan Salam Perjuangan,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat, izin dan kurnia-Nya, maka kita telah berpeluang untuk bersama-sama berkhidmat di Pro Aspirasi Mahasiswa ini.

Kesibukan dengan tugas seharian dan pelbagai komitmen menyebabkan kita terasa dan adakalanya tidak perasan bahawa waktu begitu pantas berlalu.

Sepanjang 3 tahun penubuhannya, Pro-AM telah mencatatkan banyak sejarahnya yang tersendiri antaranya menubuhkan Kelab Media Mahasiswa (KEMSIS) pada 22 Jun 2009, menyertai Pilihan Raya MPM UNIRAZAK pada Oktober 2009, dan terlibat dalam penubuhan Persatuan Pencinta UNIRAZAK (PENCINTA).

Banyak kenangan pahit dan manis saya lalui sepanjang 3 tahun menerajui gagasan mahasiswa ini. Dari kenangan manis apabila KEMSIS dinobatkan Kelab Terbaik Tahun 2010 sehinggalah ke kenangan pahit apabila saya pernah dikritik, dicemuh dan diajak bertumbuk kerana tidak bersehaluan. Kenangan pilu apabila orang-orang yang dipercayai dan menjadi tunggak parti pergi meninggalkan Pro-AM dan KEMSIS kerana kepentingan peribadi. Walau bagaimana pun, saya ambil kesemuanya sebagai asam-garam kehidupan di dunia ini.

Dengan melibatkan diri dalam Pro-AM, saya semakin mempelajari erti kehidupan ini dengan lebih sempurna. Menjadi pemimpin bukan sesuatu yang mudah. Alhamdulillah saya berjaya menempuhinya.



Rahsia kejayaan kepimpinan ini adalah kerana berkat doa yang tidak putus-putus dari Ibubapa saya. Tidak lupa juga sokongan rakan-rakan yang sering kali berada di sisi tidak kira waktu dan tempat antaranya Ehsan Raja Halid Shah, Fatihah Arifin, Parveena Devi, Yosia Rasimun, Aimi Zabudin, Norazira Yunos, Zulikha Suhaimi, Patmawati Salleh, Hafizah Shokeri, Zahrin Aziz dan rakan-rakan yang membantu secara langsung dan tidak langsung.

Rahsia kejayaan ini juga adalah kerana idola sepanjang zaman saya iaitu YABhg Tun Dr. Mahathir yang menjadi "role model" kepada saya sepanjang tempoh menjadi pengasas dan presiden parti. Tunjuk ajar juga pernah dicurahkan oleh Saudara Ezamir Zulkifli yang juga terlibat dalam proses pembentukan parti ini suatu ketika dahulu. Sokongan berterusan juga dari YM Raja Nor Lydiyani yang telah banyak membantu dan melengkapkan struktur asas KEMSIS sehingga ke hari ini walaupun ketiadaan saya di dalam KEMSIS lagi.

Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Yang pastinya setiap perpisahan pasti amat menyedihkan dan menyakitkan. Apabila mengenang kembali saat-saat ketika bersama, pasti ia akan menjadi detik kenangan paling manis yang tidak dapat dilupakan.

Kesempatan yang ada ini juga, saya mewakili rakan-rakan seperjuangan ingin menyusun sepuluh jari memohon kemaafan. Sepanjang tempoh empat tahun berada di Universiti ini, sudah pasti ada kesilapan dan kesalahan yang saya lakukan. Segala bantuan, teguran dan nasihat rakan-rakan pasti akan saya sematkan di dada.

Dalam salah satu tulisan karya agung Johann Paul Friedrich Richter, iaitu seorang penulis masyhur dari Jerman ada menyatakan bahawa,

”Man feelings are always purest and most glowing in the hour of meeting and farewell”

Harapan saya semoga rakan-rakan akan terus berusaha dengan gigih apabila mengambil alih pentadbiran parti ini nanti. Semoga rakan-rakan di UNIRAZAK akan terus mendoakan kejayaan dan kesejahteraan kami. Jika ada kelapangan, pasti kami akan
datang menghulurkan bantuan.

Hanya jauhari mengenal manikam,
Manikam disepuh di waktu pagi;
Kurang salah mohon bersalam,
Harap diampun Rabbul ‘Izzati.

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Warga Pro-AM dan seluruh kelab-kelab dibawah naungannya. Sekian, wabiillahittaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

FARIZ SUKARNOH JAFFAR
5.59pm
Ahad, 19 Jun 2011.