Monday, July 27, 2009

Sajian Kegemaran Tun Abdul Razak Kembali Ke MAS

CYBERJAYA, 27 Julai (Bernama) -- Malaysia Airlines (MAS) hari ini memperkenalkan menu istimewa memaparkan sajian kegemaran Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang akan dihidangkan dalam penerbangannya.

Isteri Allahyarham Tun Abdul Razak, Tun Rahah Mohd Noah dan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, melancarkan menu istimewa itu di sini Isnin.

Pengerusi MAS Tan Sri Dr Munir Majid berkata menu istimewa itu diperkenalkan sempena sambutan ulang tahun ke-52 kemerdekaan negara dan sebagai merakamkan penghargaan kepada Tun Abdul Razak.

"Menu itu, yang merupakan gabungan masakan Malaysia dan Inggeris, adalah bukti kepada tahun-tahun pembentukan yang Tun Razak luangkan di Malaya, Singapura dan Britain," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran "A Tribute to Tun Abdul Razak Menu" di sini.

Sajian itu terdiri daripada Nasi Tomato dengan Kurma ayam, Ikan Asam Pedas, Kuzi Ayam, Daging Panggang dengan Sos Lada Hitam Sarawak, Puding Roti Tradisional, Puding Mentega dan Krim Karamel Klasik.

Munir berkata sajian istimewa itu akan dihidangkan mulai 1 Ogos hingga 30 Sept dalam kelas perniagaan bagi penerbangan domestik dan serantau serta semua kelas dalam penerbangan bagi perkhidmatan laluan London dari Kuala Lumpur.

"Berbekalkan semangat Merdeka dan 1Malaysia, kami berasa bangga kerana dapat berkongsi sajian kegemaran Tun Razak dengan penumpang kami dan memperoleh peluang mempromosikan makanan Malaysia kepada dunia," katanya.

Ini kali kedua MAS memperkenalkan menu sempena sambutan kemerdekaan negara sebagai penghormatan kepada Perdana Menteri Malaysia.

Kali pertama ia diperkenalkan ialah pada 2007 yang mengetengahkan sajian kegemaran Perdana Menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman. - Bernama.

No comments: