Thursday, February 6, 2020

BIOMUDA LEADERSHIP IS REBOOTING PRO-AM !



By, Fariz Sukarnoh Jaffar.

SHAH ALAM, 6 Februari 2020 --
After 9 Years of idle mode, National Biomuda Leadership via Califamoda Consultancy will taking over the Pro-Aspirasi Mahasiswa Blog. See you soon !

Sunday, June 19, 2011

NUKILAN TERAKHIR

Assalammualaikum dan Salam Perjuangan,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat, izin dan kurnia-Nya, maka kita telah berpeluang untuk bersama-sama berkhidmat di Pro Aspirasi Mahasiswa ini.

Kesibukan dengan tugas seharian dan pelbagai komitmen menyebabkan kita terasa dan adakalanya tidak perasan bahawa waktu begitu pantas berlalu.

Sepanjang 3 tahun penubuhannya, Pro-AM telah mencatatkan banyak sejarahnya yang tersendiri antaranya menubuhkan Kelab Media Mahasiswa (KEMSIS) pada 22 Jun 2009, menyertai Pilihan Raya MPM UNIRAZAK pada Oktober 2009, dan terlibat dalam penubuhan Persatuan Pencinta UNIRAZAK (PENCINTA).

Banyak kenangan pahit dan manis saya lalui sepanjang 3 tahun menerajui gagasan mahasiswa ini. Dari kenangan manis apabila KEMSIS dinobatkan Kelab Terbaik Tahun 2010 sehinggalah ke kenangan pahit apabila saya pernah dikritik, dicemuh dan diajak bertumbuk kerana tidak bersehaluan. Kenangan pilu apabila orang-orang yang dipercayai dan menjadi tunggak parti pergi meninggalkan Pro-AM dan KEMSIS kerana kepentingan peribadi. Walau bagaimana pun, saya ambil kesemuanya sebagai asam-garam kehidupan di dunia ini.

Dengan melibatkan diri dalam Pro-AM, saya semakin mempelajari erti kehidupan ini dengan lebih sempurna. Menjadi pemimpin bukan sesuatu yang mudah. Alhamdulillah saya berjaya menempuhinya.



Rahsia kejayaan kepimpinan ini adalah kerana berkat doa yang tidak putus-putus dari Ibubapa saya. Tidak lupa juga sokongan rakan-rakan yang sering kali berada di sisi tidak kira waktu dan tempat antaranya Ehsan Raja Halid Shah, Fatihah Arifin, Parveena Devi, Yosia Rasimun, Aimi Zabudin, Norazira Yunos, Zulikha Suhaimi, Patmawati Salleh, Hafizah Shokeri, Zahrin Aziz dan rakan-rakan yang membantu secara langsung dan tidak langsung.

Rahsia kejayaan ini juga adalah kerana idola sepanjang zaman saya iaitu YABhg Tun Dr. Mahathir yang menjadi "role model" kepada saya sepanjang tempoh menjadi pengasas dan presiden parti. Tunjuk ajar juga pernah dicurahkan oleh Saudara Ezamir Zulkifli yang juga terlibat dalam proses pembentukan parti ini suatu ketika dahulu. Sokongan berterusan juga dari YM Raja Nor Lydiyani yang telah banyak membantu dan melengkapkan struktur asas KEMSIS sehingga ke hari ini walaupun ketiadaan saya di dalam KEMSIS lagi.

Setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Yang pastinya setiap perpisahan pasti amat menyedihkan dan menyakitkan. Apabila mengenang kembali saat-saat ketika bersama, pasti ia akan menjadi detik kenangan paling manis yang tidak dapat dilupakan.

Kesempatan yang ada ini juga, saya mewakili rakan-rakan seperjuangan ingin menyusun sepuluh jari memohon kemaafan. Sepanjang tempoh empat tahun berada di Universiti ini, sudah pasti ada kesilapan dan kesalahan yang saya lakukan. Segala bantuan, teguran dan nasihat rakan-rakan pasti akan saya sematkan di dada.

Dalam salah satu tulisan karya agung Johann Paul Friedrich Richter, iaitu seorang penulis masyhur dari Jerman ada menyatakan bahawa,

”Man feelings are always purest and most glowing in the hour of meeting and farewell”

Harapan saya semoga rakan-rakan akan terus berusaha dengan gigih apabila mengambil alih pentadbiran parti ini nanti. Semoga rakan-rakan di UNIRAZAK akan terus mendoakan kejayaan dan kesejahteraan kami. Jika ada kelapangan, pasti kami akan
datang menghulurkan bantuan.

Hanya jauhari mengenal manikam,
Manikam disepuh di waktu pagi;
Kurang salah mohon bersalam,
Harap diampun Rabbul ‘Izzati.

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

Saya ucapkan selamat maju jaya kepada Warga Pro-AM dan seluruh kelab-kelab dibawah naungannya. Sekian, wabiillahittaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

FARIZ SUKARNOH JAFFAR
5.59pm
Ahad, 19 Jun 2011.

Wednesday, April 13, 2011

WIKILEAKS: TENTERA AMERIKA PEMBUNUH

WASHINGTON, 5 April 2010 -- Segalanya terjawab apabila rahsia video yang dalam simpanan Pantagon bocor dan disebarkan oleh WikiLeaks. Video ini menunjukkan tentera AS yang berada di Iraq sedang menjalankan operasi banteras pemberontak bersenjata. Video ini diambil dari 'gunsight' sebuah helikopter AH-64 Apache. Sebagai kru helikopter, mereka dalam keadaan santai dan membuta-tuli membunuh sekelompok orang yang dianggap puak pemberontak. Ia menunjukkan pilot helikopter keliru mengenalpasti orang yang membawa kamera - 22 tahun Reuters jurugambar Namir Noor-Eldeen, bersama-sama dengan pemandunya, Saeed Chmagh, 40 - yang dianggap sebagai pemberontak bersenjata. Pilot kemudian menembak van yang ingin membawa mangsa yang cedera ke hospital. Hasil siasatan, terdapat 2 kanak-kanak berada didalam van tersebut. Tiada senjata ditemui pada mangsa yang mati di lokasi pembunuhan. Editor WikiLeaks Julian Assange mendedahkan kekejaman ini pada 5 April 2010 kepada wartawan antarabangsa. Kejadian tersebut berlaku pada Julai 2007. Semoga kita mendapat iktibar dari kejadian ini. - Wartawan Pro-AM.



Tuesday, March 29, 2011

PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI

Oleh, YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Langkah, beribu langkah
Ke destinasi yang diimpi
Tiba terhenti, tercari-cari
Haluan arah, yang telah pun musnah
Harapan tak kesampaian

Hina, hinanya diri
Hanya menantikan bantuan
Bagaimanakah ini terjadi
Kerdilnya diri bukan lagi tuan
Inikah rupanya nasib bangsaku

Langkah demi langkah
Biarkah bertatih
Impian kan juga terlaksana
Martabat diri ini, tiadakan bererti
Tanpa usaha, janganlah leka

Mewah negaraku semerbak harumnya
Renjisan keringat oh bangsaku
Teruskan langkah ini
Biarkan ia kekal selamanya...

"Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya
Bukankah sejak zaman berzaman
Mereka menjadi pelaut, pengembara
Malah penakluk terkemuka?
Bukankah meraka sudah mengembangkan sayap
Menjadi pedagang dan peniaga
Selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang?

Bukankah bangsaku pernah mengharung samudera
Menjajah dunia yang tak dikenal?
Bukankah mereka pernah menjadi wira serantau
Yang tidak mengenal erti takut dan kematian?
Di manakah silapnya?"

"Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
Kerana masa depan belum tentu menjanjikan syurga
Bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa

Perjuangan kita belum selesai
Kerana hanya yang cekal dan tabah
Dapat membina mercu tanda
Bangsanya yang berjaya"